Rabu, 18 November 2009

sekrip puisirama khas aidil adha

Rancangan: Puisirama Khas Aidil Adha
Tarikh Siaran: Sabtu, 28 November, 2009
Masa: Jam 5.20 Petang
Penyampai: Meriam Mohd Jamaliah Romi & Tasikan Yusoff
Penerbit: Tasikan Yusoff

MUZIK
PEMBUKAAN RANCANGAN

JH
Setelah ku bilang aksara empat belas kurun
Kusibak kilat senyum dalam fikir jernih:
Apakah hidup telah kehilangan doa dan ikhtiar
Sebelum dan sesudah menerima petunjuk
Sedangkan kehidupan tak pernah usai
Mengundang dendam kesumat dan amarah
menghamilkan perkelahian dan tingkah!

Sekali lagi Radio Malaysia Kelantan fm menyingkap citra cinta dan pengorbanan menerusi Puisirama Khas Aidil Adha

MUZIK
PEMBUKAAN RANCANGAN DILANJUTKAN

JH
Dalam murung maha nestapa
Adam persiapkan diri melewati pintu ke pintu
Memberi salam dan meninggalkan Tasbih - Mawar.
Witir ngilu di hujung tangis perpisahan
Dari tangga syurga
Ia melangkah dan mengheret jubah
Menuruni malam pekat berbekal doa dan kesal
Kerana kurdi terlarang dan hasutan durja
Taman mewah kehilangan hakmilik
Dalam pekat maha gelap
Sang Adam berlabuh di Puncak Tertinggi
Di Tengah Segara Buana
Tanpa kompas dan peta
Mengharung ujian getir seorang manusia
Bersendirian dan terasing

Berbekalkan doa dan syukur
Sebenarnya Adam bukan menerima kutukan
Namun sebuah anugerah keajaiban
Yang tak perlu kita tanya!

MUZIK
SELINGAN/LAGU: HAJI~RAMLI SARIP

JH
Antara Qabil dan Habil:
Bungkusan cinta sang Hawa bekalkan
Bukan lagi menjadi sarapan
Cangkir kasih Sang Adam gantungkan
Tidak lagi penghilang dahaga
Kerana haloba dan iri
Kerana dendam dan amarah
Bungkusan dan cangkir terhempas
Berderai pecah lewat senja yang rapuh
Tercatatlah: Korban Pertama di Alam Maya
Dalam selembar sejarah luka.

Sampai kinipun:
Hanyir darah meresap ruap di Bumi Palastin
Menyiram seluruh perbukitan Afghanistan
Mengalir deras di arus Tigris
Berombak dan membadai
Suara tangis mengatasi azan dan zikir.

MUZIK
SELINGAN/LAGU: DI ALUNAN RINDU~AXTHARA

JH
Ya Siin:
Benarkah engkau mengukir cinta dalam mabuk laku.
Apakah Kau seperti Musa di Lembah Thuwa'?
Tertiarap Rindu. Berdegup kalbu.
Apakah Kau bagai Ibrahim, yakin api itu dingin?
Dan Kebesaran Cinta meminta korban leher Ismail.
Benarkah Cinta yang terukir cantik di kilauan kata lahir
mengalir di angin mendesir, Mabuk di dalam zikir.

Ya Sin:
Jika cinta yang tak mengenal musim.
Tafsirkan cumbu-Mu dalam peluk tahajud
Kau renangi Laut Malam dalam asyik.
Dan biarkan bibirmu bergetar mengunyah tahmid
Dalam doa dan syukur

MUZIK
SELINGAN/LAGU:DOA~ZUBIR ALI [HARMONI]

JH
Waraskah Hajar?
Merangkak dan berlari mencari air
Menepuk bumi di Tanah tandus
Melakar alur di bumi gersang
Membina batas di padang kering
Antara Saffa dan Marwah
Terentang nikmat terdinding dari matalahir
Ibrahim di suluh cahaya Kerahmatan
Ismail menerima anugerah Keabadian
Hajar di Mahkotakan piala agung sang ratu dunia
Sesungguhnya:
Zamzam yang manis bukti percintaan dan Rindu
Petanda awal Nur Muhammad

MUZIK
SELINGAN/LAGU: MIMPI DILAMAN MENTARI~SHINE

JH
Muhammad:
Kesenyapanmu berjalan dalam kelam
Menangkap mengikat segala hati
Keras beku jadi cair.
Dalam panas mengganggang
Menghisap segala jadi kering,
Engkaulah air basah
Menyejuk kalbu yang runsing.
Kerana dari mula: Engkau jadi ubat dan penawar.
Sampai di mana kesulitan: Engkaulah perawat.
Bumi jiwa yang tandus: Kau siramkan dengan iman
Tasik hati yang gersang: Kau alirinya dengan takwa
Lubuk kalbu yang kerontang: Kau sapukan dengan Ehsan
Dosa dan noda bertimbun: Telah kau janjikan dengan sufaat
Itulah pengorbanan Agung dari mu Muhammad

MUZIK
PENUTUP RANCANGAN

JH
Cuma setakat ini Puisi Khas Aidil Adha kali ini. Selamat menyambut Hari Raya Korban dari kami warga kerja Radio Malaysia Kelantan fm.

MUZIK
PENUTUP RANCANGAN DILANJUTKAN