Khamis, 26 Mac 2009
Khamis, 19 Mac 2009
Petikan Dari Blog Lain
Ambo kerap memandu kereta balik kelantan melalui Jalan Bentong - Lipis - G. Musang. Setiap kali balik, bila sampai je di K.Krai ambo akan cari stesen radio Kelantan, selalunya stesen Kelantan FM yang ambo jumpa, tapi tak ingat lah angka gelombangnya. Tapi mudah jumpa dan cam sebab juruhebahnya banyak menggunakan loghat Kelantan. Rancangan yang paling saya suka dengar - Kayanya Bahasa Kita dan satu lagi rancangan bersama Ustaz (lupa nama rancangan tu). Saya yang jarang2 dapat dengar siaran tu rasa seronok sangat, disamping mendapat menafaat dari isi kandungan rancangan tu, kita juga dapat dengar loghat Kelantan yang ditutorkan secara spontan dan bersahaja... Petang-petang cuba lah cari siaran Kelantan FM tu - Pak Mus
petikan daripada: http://abrashid.blogspot.com/2008/08/on-air.html
petikan daripada: http://abrashid.blogspot.com/2008/08/on-air.html
Selasa, 17 Mac 2009
Kayanya Dialek Kelantan

Kayanya dialek Kelantan
DIALEK Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata, dan makna. Bagi terus memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan rancangan Rampai Budaya : Kayanya Bahasa Kita yang disiarkan secara langsung melalui siaran Kelantan FM pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang hingga 6.00 petang.

Sejak tahun 2006 rancangan ini diadakan bertujuan untuk mencari gali khazanah kekayaan dialek Kelantan agar tidak luput ditelan zaman. Di samping berupaya meningkatkan kefahaman generasi muda tentang penggunaan bahasa lama yang jarang digunakan dan tidak sebati dalam kehidupan mereka. Dua orang Munsyi Dewan, Tuan Haji Mohamad Haron dan Encik Abdullah Yassin sebagai pengkaji dan pemudah cara yang bersama-sama dengan pendengar dari seluruh negeri Kelantan untuk berkongsi maklumat tentang penggunaan dialek Kelantan yang dituturkan oleh masyarakat di sini.
Bagi menambahkan keberkesanan rancangan ini, DBPWT mengambil pendekatan memperkenalkan satu perkataan pada setiap rancangan, manakala pendengar yang menelefon akan memberi maklum balas dari segi maksud dan perkataan lain yang digunakan di tempat mereka. Hasil daripada rancangan ini, DBPWT berjaya mengumpul sejumlah kosa kata dan istilah dalam dialek Kelantan yang pastinya akan menjadi dokumentasi yang berguna kepada masyarakat dan pengkaji pada masa ini dan pada masa yang akan datang.
Antaranya ialah bojeng yang membawa makna gaya rambut, kuis (gerakkan benda dengan kaki), selak (pengsan) papah (guntingan pendek rambut), jirek (pijak), kuca bara (suasana yang bersepah), gelap gelemak (hitam yang amat sangat) dan banyak lagi. Untuk mengetahui perkataan-perkataan lain, pembaca boleh mendengar rancangan menerusi saluran Kelantan FM.
(Sumber : Berita Harian (20/08/2008)
Pangkal Chuit Bahagian Dua
PANGKAL CHUIT [ii]Desa kerdil yang lengang: di sinilah ku pijak basah tanah,
kering embun di rerumput, celahan pepohon getah,
menyusur bendang, sambil merendam jiwa di riak air yang risau, menyimpulkan masa kanak-kanak tak lebih dari selarik sajak tentang setumpuk kenangan tiga dekad silam.
Pangkal Chuit yang rangup dalam ingatan; Cuacanya lebih bersinar dari mata si dara sunti, tetap menjadi bayangan indah di air keruh. Di sinilah aku mendendangkan lagu-lagu Qasidah kehidupan, menyalami hutan kecil sambil mengirim ledakan peluru biji senduduk dan buah cenerai. Dan aku tumbuh lebih subur di batas ubi kayu, dengan kegelisahan yang dihanyutkan hujan ke bibir baruh.
Pangkal Chuit: Dusun indah itu kini menghantui urat dan nadi, bagai musim kemarau menghampar keresahan. Segalanya telah terasing dengan penuh keterasingan: akulah warga asal yang terasing di bumi sendiri. Yang tinggal cumalah pusara sepi arwah ayah,Bersemadi lestari di kubur ujib dalam diam memanjang, Hinggakan aku terlupa mencari jejak nisannya
Yang ku jumpa cumalah wajah~wajah asing mengerling sinis
Pangkal Chuit, dusun riuh yang bisu dalam jiwaku, tetap saja sebuah kenangan. Aku hanya mengira masa kecil lebih indah dari puisi. Rahasia buah makna, ternyata lebih bermakna dari sunyi. Dan aku hanya ingin terus mengenang. Karena sesuatu yang pasti ternyata: tak mampu aku cari dan tak mungkin dapat aku temui.
Shek Tasikan Yusoff
18 Oktober, '99
Radio Satu,
Bukit Angkasa, Kuala Lumpur
Pangkal Chuit Bahagian Satu

Pangkal Chuit [i]
Pangkal Chuit, Empat dekad silam, tanganku serasa masih meraba di bendang gelisah. Perjalanan kuanggap suci, seperti mata kanak-kanak yang memercikkan keriangan. Kucium harum Bechah Pulau Kampong Tengah dengan kerinduan membusakan mimpi-mimpi. Kugandeng tangan ayah sambil meniru belaian deru angin musim padi menguning. Tiba-tiba kudengar doa ibuku berbisik perlahan. Seperti segenggam cinta yang rebah dalam cuaca yang meradang.
Di Pangkal Chuit, Empat dekad silam, hatiku semestinya diisi puisi yang bersinar keemasan. Airmata mengalir, menyuburkan daun-daun jiwa. Kukenang: ibu mengupas helai demi helai selaput ubi kayu untuk dijadikan tapai. Esoknya akan menjunjung lekar sekeliling kampong, aku membesar dan remaja dicelahan pepohon ubi, batang kelapa, rimbunan semak samun dan kebun getah, di sinilah: kudengar gelak hilai kawan sepermainan melenyapkan kesunyian, yang kini menjadi sesuatu paling ungu dan mengharukan.
Di Pangkal Chuit, Empat dekad silam, aku merenung kolam mata ibu yang tak pernah kering dari keperitan hidup, mengalir sederas peluh. Aku turut menangis dalam diam paling sunyi. Di lipatan hati seringkali tumbuh lingkaran pertanyaan yang sesak. Sampai bilakah hidup kami dilambung gelombang hidup, paling sempit dan menyepitkan.
Di Pangkal Chuit, aku harus membangun piramida dari seribu harapan yang menggunung di pundak, seperti terbang melintasi masa kanak-kanak yang lebih sejuk dari air di telaga batin.
Shek Tasikan Yusoff,
11 Jun '98
Angkasapuri, Kuala Lumpur

Langgan:
Catatan (Atom)